Followers

Thursday, 30 October 2008

BAB 5 : GLOBALISASI BARAT

PENGENALAN

Dunia dahulu adalah terIalu amat banyak perbezaannya dengan dunia hari ini yang terIalu pesat. Perubahan demi perubahan berIaku dengan begitu cepat dan pesat lebih-Iebih lagi dengan tercetusnya gelombang evolusi maklumat yang berterusan. Evolusi maklumat yang berterusan ini menjadi penggerak dan generator kepada perubahan dunia hari ini. Menerusi penyebaran maklumat yang meluas ini manusia mampu mengenali budaya asing dan amalan sosial masyarakat dari segenap pelusuk dunia tanpa halangan. Apa jua yang berIaku kepada dunia seperti gempa bumi di Indonesia, peperangan di Iraq, serangan pengganas terhadap W orId Trade Centre dan apa jua peristiwa dunia, dengan mudahnya tersebar ke segenap pelusuk dunia dalam jangka waktu yang singkat. Inilah yang dikatakan dunia tanpa sempadan atau lebih dikenali sebagai globalisasi.

Globalisasi adalah produk yang dihasilkan di Barat di mana Barat merupakan pengasas kepada perkembangan teknologi maklumat. Kerana Barat yang mempelopori apa itu globalisasi dan Barat yang menguasai sumber maklumat dunia tentunya globalisasi dunia yang sedang berIangsung pada hari ini lebih menyebelahi mereka. Berbagai agenda telah dan sedang dirancang oleh Barat bagi menyebarIuaskan fahaman dan pegangan mereka dalam apa jua bidang. Bagi mereka fahaman globalisasi ala-Barat perIu dapat tersebar dan menyerap masuk ke dalam diri masyarakat dunia tanpa pengecualian. Sebagai salah sebuah masyarakat penduduk dunia yang kerdil, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari segenap aspek cabaran, implikasi dan trend globalisasi ala-Barat yang semakin rancak dan tidak terkawal. Kita seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan nilai jati diri tidak akan tergugat dan tergadai. Kita tidak harus menolak kedatangan globalisasi, tetapi kita harus berani, yakin dan tegas dalam mempertahankan jati diri sementara kita terus berinteraksi dengan dunia global.

DEFINISI GLOBALISASI

Globalisasi yang dipelopori oleh Barat sebenarnya membawa kepada pelbagai definisi dan penafsiran dari berbagai sudut pandangan. Definisi umum yang dipegang oleh sebahagian daripada kita menafsirkannya sebagai proses pengecilan dunia atau menjadikan dunia sebuah perkampungan yang kecil. Sebahagian kita yang lain menafsirkannya sebagai usaha penyatukan masyarakat dunia dari segi gaya hidup dan budaya.

Motif globalisasi adalah untuk meletakkan dunia ini di bawah satu unit yang sama dan seragam di mana semua negara dunia ini menggunapakai satu undang­-undang globalisasi yang sama. Ia adalah satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu kuasa tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, kesannya dunia tidak lagi mempunyai sempadan sebagaimana yang terpapar dalam peta dunia bahkan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Perkembangan ini secara positifnya membolehkan perhubungan di antara negara dan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat tanpa melibatkan perbelanjaan yang banyak.

Menurut Kamus Dewan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986), global bermaksud mengenai dunia seluruhnya atau pada keseluruhannya dan pada umumnya. Globalisasi pula didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Cendekiawan Barat secara umumnya memberi takrifan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia secara milik bersama.

Sarjana-sarjana telah memberikan pelbagai definisi terhadap globalisasi. Kenichi Ohmae (1991) berpandangan bahawa tamadun manusia kini memasuki era 'borderless world' iaitu dunia tanpa sempadan. Proses ini dipermudahkan lagi dengan adanya kemajuan dalam bidang teknologi, khususnya teknologi komunikasi dan perhubungan. Nurcholish Majid (1996), mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses mengubah kehidupan umat manusia menuju kepada satu masyarakat sahaja.

Umumnya, globalisasi ialah suatu proses membuka keadaan, yang pada umumnya dapat difahami sebagai proses di mana sempadan negara-negara semakin runtuh dan seluruh alam buana ini semakin berubah menjadi satu unit. Di dalam unit global ini, hubungan adalah cepat dan rapat. Keadaan ini dikaitkan dengan perkembangan teknologi elektronik yang berkembang dengan pesatnya. Globalisasi adalah satu tatacara dalam dunia baru yang dikatakan akan menggantikan sistem dunia dewasa ini. Melalui globalisasi, dunia dilihat tiada batasan sempadan (borderless world), ketelusan (transparent), internationalism dan lain-lain lagi yang menjurus kepada persaingan yang drastik dalam apa jua keadaan. Dunia dilihat sebagai satu fenomena di mana semua penduduknya mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing dalam semua bidang kehidupan (Amirudin Sadali, 1999: 177).

Secara komprehensif, globalisasi juga didefinisikan sebagai suatu himpunan pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai bidang aktiviti manusia. Objek yang diglobalisasikan boleh jadi fizikal dan bukan fizikal, sama ada dalam bentuk maklumat, idea, nilai, institusi atau sistem. Himpunan proses pengaliran global ini dan bidang aktiviti manusia yang terlibat berkait dan bergantungan sifatnya (Osman Bakar, 1998 : 6)

PENGARUH GLOBALISASI TERHADAP PERADABAN

Setelah membincangkan tentang definisi globalisasi, jelas bahawa globalisasi ini merujuk kepada kehidupan yang lebih meluas merangkumi pelbagai isu dan aspek termasuk di dalamnya ekonomi, politik, budaya dan sosial. Setiap isu globalisasi yang disentuh ada membawa kepada kebaikan dan pada masa yang sama membawa kepada keburukan. Isu-isu inilah yang memberi sedikit sebanyak kesan kepada peradaban manusia dari segala aspek.

Banyak pihak di dunia ini sedang menilai buruk baiknya globalisasi terutamanya globalisasi ekonomi. Chandra Muzaffar dalam Osman Bakar (2004), menyatakan bahawa terdapat lapan aspek positif globalisasi:

(1) Peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara.
(2) Peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah.
(3) Peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan kerana teknologi baru komunikasi dan maklumat.
(4) Komunikasi yang lebih mudah dan juga murah.
(5) Peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi.
(6) Peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa ketidakmanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedi buatan manusia di seluruh dunia.
(7) Penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia.
(8) Penonjolan hak-hak asasi kaum wanita.

Jika diperhatikan, maka sebahagian besar manfaat globalisasi adalah yang berkaitan dengan dimensi ekonomi manakala bakinya berkaitan dengan dimensi politik dan sosial. Dari segi keburukan globalisasi pula, tiga belas perkara yang disenaraikan oleh Chandra dalam Osman Bakar (2004) ialah:

(1) Kualiti alam sekitar yang semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan.
(2) Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi.
(3) Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak negara terutamanya di negara-negara selatan.
(4) Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan.
(5) Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar di negara-negara utara sendiri.
(6) Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai­-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia.
(7) Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogen menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global.
(8) Penyebaran budaya pop Amerika yang" menyegarkan pancaindera dan mematikan roh" .
(9) Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan.
(10) Pembanjiran maklumat yang tidak berguna.
(11) Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia.
(12) Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung.
(13) Pengantarabangsaan penyakit.

Apa yang disenaraikan baik dan buruk globalisasi di atas, menjelaskan bahawa sebenarnya globalisasi ini memberikan kesan sama ada berbentuk positif atau negatif dalam segenap dimensi. Namun, apa yang lebih ketara ialah globalisasi banyak memberi pengaruh kepada dimensi ekonomi. Globalisasi ekonomi dilihat banyak memberi kesan yang negatif dan secara tidak langsung mampu memberi kesan terhadap dimensi-dimensi lainnya. Punca utama globalisasi ekonomi meninggalkan banyak kesan negatif dalam pelbagai bidang kehidupan manusia sejagat ialah sifat globalisasi ekonomi ala-Barat yang berteraskan kapitalisme. Globalisasi ekonomi yang menggunapakai satu peraturan ekonomi dunia yang seragam menjadikan kapitalisme sebagai asas di mana ia berteraskan kepada pasaran terbuka dan perdagangan bebas tanpa dikawal oleh nilai-nilai sahsiah murni serta mampu menghilangkan dasar keadilan dalam ekonomi. Ini yang secara jelas membawa kepada kesan negara yang miskin akan terus miskin dan yang kaya akan terus kaya serta meletakkan jurang perbezaan ekonomi yang jauh antara dua negara miskin dan kaya.

Dari segi globalisasi maklumat dan ilmu, secara positifnya memberi peluang yang lebih luas kepada masyarakat dunia untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berdasarkan kecanggihan teknologi baru komunikasi dan maklumat tanpa melibatkan banyak kuasa. Namun, kesan terburuk yang dinyatakan oleh Chandra ialah kebanjiran maklumat yang tidak berguna. Sedangkan Islam yang meletakkan ilmu sebagai sesuatu yang cukup tinggi dan mulia kedudukannya amat bencikan maklumat yang tidak berguna. la boleh membahayakan pembinaan masyarakat yang bermoral sekiranya ia tidak mampu dikawal dengan baik dan menghilangkan corak budaya berilmu yang sihat.

Dalam globalisasi sosial, secara negatifnya ia mampu membawa kepada penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia. Kesan juga dapat dilihat ke arah pembentukan budaya global yang homogen serta penyebaran budaya pop Amerika yang "menyegarkan pancaindera dan mematikan roh". Begitu juga dalam globalisasi politik di mana kita perlu menghadapi cabaran penyebaran fahaman demokrasi, pluralisme dan hak-hak asasi manusia dengan berpandukan ajaran-ajaran yang ada dalam agama dan tradisi kita.

Semua kesan di atas yang menyentuh setiap dimensi dan aspek globalisasi serba sedikit memberi impak kepada peradaban. Perspektif peradaban adalah perspektif jangka masa panjang. Dalam perspektif jangka panjang, kita lebih mengutamakan isu­-isu yang lebih pokok sifatnya seperti isu nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan dan isu pembentukan institusi-institusi politik, ekonomi dan sosial yang lebih kekal sifatnya. Juga perspektif peradaban lebih mementingkan isu pembentukan budaya yang sihat, baik budaya politik mahu pun budaya intelektual.

Dalam memastikan peradaban Malaysia ini mampu menangani arus globalisasi, kita harus meneliti segala baik buruk kesan daripada globalisasi ini. Peradaban Malaysia perlu mengekalkan nilai jati diri berteraskan peradaban Islam dan agama­-agama lain yang dianuti oleh kepelbagaian masyarakat Malaysia.

ISU-ISU GLOBALISASI

Media

Globalisasi yang diperkenalkan oleh Barat menjadikan media komunikasi sebagai alat utama yang mampu menyebarluaskan segala maklumat. Oleh kerana Barat menguasai media komunikasi dunia, segala berita dan maklumat yang disiarkan di seluruh dunia adalah lebih berpihak kepada mereka dan menindas mana-mana negara yang tidak bersekongkol dengan mereka khususnya negara-negara Islam. Ilmu dan maklumat dengan mudah boleh diakses oleh sesiapa sahaja di duma ini dengan kecanggihan teknologi internet dan komputer.

Barat sebagai pengasas alat komunikasi dunia dengan sendirinya mampu menjadi kuasa pertama yang mampu menghasilkan banyak syarikat-syarikat gergasi media cetak dan media elektronik. Kerana media di bawah kawalan mereka, segala berita dan maklumat tentunya menyebelahi mereka dan sebaliknya menindas musuh-musuh mereka. Misalnya, agensi berita antarabangsa terutamanya dari Amerika Syarikat menentukan dengan meluasnya bagaimana maklumat tentang peristiwa antarabangsa diolah dan dipersembahkan kepada masyarakat dunia. Sesuatu peristiwa itu diolah dan ditafsirkan oleh mereka bagi memperoleh kepentingan-kepentingan tertentu.

Kesan terburuk globalisasi media yang dirasai oleh masyarakat Muslim di Malaysia khususnya dan penduduk dunia lain umumnya ialah kebanjiran maklumat yang tidak berguna. Islam hakikatnya adalah agama yang menekankan kecintaan kepada ilmu dan hikmah dan memandang serius kepada lambakan maklumat yang tidak berguna. Kita tahu bahawa lambakan maklumat yang tidak berguna ini amat mudah diakses dengan kecanggihan teknologi maklumat terkini. Kerana itu, maklumat yang tidak benar dan tidak berguna ini sukar untuk dibendung daripada terus mengalir ke dalam masyarakat kita. Apa yang merisaukan ialah fenomena kebanjiran maklumat yang tidak berguna ini kerana maklumat sebegini mudah menarik minat anak-anak muda dan remaja yang sedang meningkat naik.

Selain masalah bahaya maklumat yang tidak berguna ini, kita juga berhadapan dengan masalah jurang perbezaan peluang untuk mengakses maklumat. Jurang ini jelas ketara antara masyarakat bandar dan masyarakat luar bandar. Untuk itu, kerajaan kita khususnya telah dan sedang membuat berbagai aktiviti bagi mendedahkan masyarakat di luar bandar akan kepentingan 'celik IT' dengan menyediakan berbagai bantuan dan kelengkapan komputer yang mampu menarik minat masyarakat luar bandar dan seterusnya mendedahkan mereka kepada dunia globalisasi.

Ekonomi

Globalisasi ekonomi ialah antara dimensi globalisasi yang mampu memberi kesan secara tidak langsung kepada globalisasi dimensi lain. Globalisasi ekonomi ialah satu kod undang-undang ekonomi seragam yang diamalkan dan digunapakai oleh seluruh masyarakat dunia. Ia membawa kepada penghapusan halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain pada kadar yang amat pantas terutamanya dalam tiga aspek utama ekonomi iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan. Globalisasi berlaku dalam ketiga-tiga aspek ini apabila dasar-dasar kerajaan yang mengawal ekonomi asing daripada mempengaruhi ekonomi tempatan semakin longgar dan ekonomi tempatan terpaksa mengikut rentak ekonomi asing yang akhirnya meminggirkan ekonomi tempatan. Ia berlaku dengan mudah akibat perubahan teknologi di mana wang boleh dipindahkan, mata wang diniagakan dan saham boleh dibeli dengan mudah.

Dalam globalisasi ekonomi, pasaran saham diglobalkan dengan pelabur-pelabur asing boleh membawa wang keluar dan masuk dari sesebuah pasaran. Dengan kadar mata wang yang tidak tetap dan pasaran modal terbuka, spekulasi mula muncul dan membawa kepada manipulasi mata wang dan saham. Ia kemudiannya membawa kepada peranan tiga buah institusi yang benar-benar menyebarkan globalisasi iaitu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) (Utusan Malaysia, 15 April 2001 : 3).

Dalam globalisasi ekonomi, telah berlaku peningkatan dalam kebergantungan perniagaan terhadap ekonomi. Firma-firma dan perniagaan terus meningkat dan berlakunya peningkatan dalam pelaburan asing secara langsung di dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara. Globalisasi ekonomi dapat dilihat melalui perluasan perusahaan melampui sempadan negara. Perspektif ini dapat dilihat melalui tiga tahap (http://jwww.me.gov.myjictjict04.htm):

(1) Pertama ialah perusahaan antarabangsa yang mempunyai aktiviti di luar sempadan nasional dan meliputi eksport, import dan penghasilan bukan bahan mentah.
(2) Kedua ialah perusahaan multi nasional, iaitu perusahaan yang menjalankan aktivitinya di berbagai negara.
(3) Ketiga ialah perusahaan global yang melihat ekonomi dunia sebagai satu. Perusahaan tersebut mendapatkan bahan mentah dan menjual barangan secara global.

Globalisasi ekonomi mampu membawa kepada pelbagai krisis dan spekulasi pasaran. Serangan para spekulator telah mengakibatkan nilai mata wang sesetengah negara jatuh merudum berbanding dengan Dollar Amerika. Umpamanya kita menyaksikan pada 2 Julai 1997 bermulanya krisis ekonomi Asia di mana Baht Thai jatuh begitu teruk, diikuti dengan Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia. Usaha penyelesaian secara tradisional oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada beberapa buah negara yang ditimpa krisis juga menemui kegagalan (Ismail Awang, 1999: 152). Di Malaysia, kita masih mampu bertahan kerana kebijaksanaan pemimpin kita dalam menyelesaikan kemelut ekonomi yang merudum ketika itu.

Di samping itu, Malaysia amat beruntung kerana dari aspek perdagangan kita mendapat faedah dari globalisasi dan turut mendapat faedah buruk. Ini kerana, harga eksport komoditi kadang kala boleh jatuh amat rendah dan kadang kala boleh memuncak dengan tinggi sekali. Malaysia mendapat faedah dari globalisasi kerana ia sebuah negara perdagangan. Kita juga berdagang barangan elektronik yang telah membawa keuntungan kepada negara dan pekerjaan rakyat. Tetapi kepada negara lain seperti Afrika, industri mereka lemah dan sukar untuk bersaing dengan barangan import yang lebih murah. Inilah realiti dunia globalisasi ekonomi di mana negara yang bijak mencari sumber hasil negara dapat bersaing dengan negara maju manakala negara yang kurang sumber bahan asli dan kurang aset sukar untuk bersaing bersama negara maju dan mengakibatkan negara miskin terus miskin dan terpinggir dalam kelancaran arus globalisasi.

Politik

Globalisasi politik juga telah tersebar luas ke seluruh dunia dengan kehebatan penawaran ilmu dan teknologi komunikasi yang mampu menyebarluaskan segala maklumat. Untuk itu, kita perlu menghadapi cabaran penyebaran idea-idea dan fahaman politik yang salah seperti demokrasi ala Barat, pluralisme dan hak-hak asasi manusia.

Salah satu isu terpenting dalam dimensi politik globalisasi ialah fenomena 'deterritorialization' (penyalahwilayahan) iaitu satu proses dan tindakan politik yang melintasi perbatasan wilayah negara. Dalam melaksanakan kuasa, terdapat penggunaan kuasa, terdapat penggunaan pemaksaan dan pemantauan secara sistematik melalui badan-badan berkuasa seperti tentera, polis dan sebagainya. Terdapat idea mengenai demokrasi dan hak asasi manusia yang dianggap prinsip sejagat yang mesti diterima oleh seluruh umat manusia. Penyebaran idea ini diterajui oleh Amerika Syarikat (Amran Muhammad et aI, 2001 : 419).

Kemerdekaan sesebuah negara pada masa kini tidak mempunyai makna yang besar selain daripada tampuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan. Namun hari ini, politik antarabangsa didominasi sepenuhnya oleh beberapa buah negara kuasa besar (super power) yang secara tidak langsung menggambarkan dominasi dunia Barat. Kita lihat sahaja contohnya di Iraq pada hari ini. Amerika Syarikat yang mendominasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kuasa vetonya bersama-sama dengan negara Rusia, United Kingdom dan Perancis telah campur tangan dalam politik dalaman Iraq.

Boleh dikatakan dalam hampir semua persengketaan wilayah dan antarabangsa sama ada di Somalia, Bosnia-Herzegovina, Palestin, Kashmir, Iraq dan lain-lain, Amerika Syarikat telah terlibat secara langsung dengan menggambarkan diri mereka sebagai 'polis dunia'. Kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa besar dunia yang tidak boleh ditandingi adalah disebabkan kekuatan ketenteraan dan militarinya. Setelah berakhirnya Perang Dingin dan dengan kejatuhan Soviet Union, Amerika Syarikat telah muncul satu-satunya kuasa besar dunia yang tidak boleh ditandingi (Amran Muhammad et al, 2001: 419).

Budaya

Pada hari ini, dunia Barat terutama Amerika Syarikat telah membanjiri dunia dengan pengeksportan budayanya. Berlaku pertukaran dan pernyataan simbol yang mencerminkan kehidupan manusia dari segi gaya hidup, kepercayaan, citarasa, dan lain-lain dari Barat ke dunia luar. Ia dilahirkan secara material dan bukan material dalam kehidupan individu dan kelompok iaitu satu fenomena yang sudah melepasi perbatasan negara. Kebudayaan merupakan cara hidup seharian manusia dalam sesebuah masyarakat atau organisasi. Pada zaman dahulu manusia dalam sesebuah masyarakat sanggup berperang kerana mempertahankan budaya hidup mereka yang dicemar atau dicerobohi oleh pihak lain. Antara cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Ia adalah satu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio-budaya sesuatu kelompok masyarakat dapat disempurnakan maka segala usaha bagi mengatasi masalah lain adalah lebih mudah.

Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio-budaya. Melalui pelbagai zaman, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah sesuatu yang mengejutkan apabila sistem sosio-budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara. Dalam keghairahan untuk mengejar gaya hidup ala Barat, anak-anak muda ini secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah dengan gaya peniruan secara bulat budaya hidup barat (Utusan Pengguna, 17 November 1997 : 23).

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena ini adalah menerusi kesan-­kesan globalisasi budaya di bawah :

(1) Budaya Makan : Pelbagai jenis makanan Barat telah dapat dinikmati dan semakin popular di seluruh dunia. Makanan Jepun pun sudah boleh diterima oleh masyarakat Malaysia. Spaghetti, pasta, minuman bergas seperti Coca Cola tidak hanya boleh didapati di Barat malahan di seluruh dunia.
(2) Budaya Fesyen : Anak-anak muda semakin ghairah mengikuti segala perubahan fesyen yang berlaku di Barat. Jenama-jenama alat solek seperti
Maybeline, Christian Dior dan jenama pakaian seperti Versace, Bonia, Padini menjadi pilihan generasi muda walaupun mahal harganya (Azhar Hj. Mad Aros et aI, 2000 : 84).
(3) Budaya Kerja : Syarikat pengeluaran di era globalisasi juga terdiri daripada berbilang kaum dari negara-negara di dunia. Umpamanya, syarikat Espirit di mana ketua grafiknya dari Jepun, juru gambarnya dari Itali, arkiteknya dari Perancis dan Itali.
(4) Budaya Hidup : Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat serta dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat. Di samping itu, masyarakat dunia hari ini lebih terdedah kepada budaya hidup yang menggunakan produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.
(5) Budaya Muzik dan Hiburan : Muzik jazz, rock, disco dan yang terkini muzik 'black metal' telah mula menguasai dunia. Tempat hiburan seperti Disneyland juga diadakan di luar dari negara Amerika. Contohnya, di Jepun dengan panggilan Tokyo Disneyland (1987) dan di Marne-La-Valle di Paris dengan panggilan Euro Disneyland (1992)
(http://www.me.gov.my/ict/ict04.htm).
(6) Budaya Bahasa: Bahasa Inggeris adalah alat perhubungan dan komunikasi terpenting antarabangsa dan digunakan secara global. Ini menunjukkan kejayaan globalisasi bahasa yang diterajui oleh Amerika. Terdapat penyebaran budaya konsumer Amerika Syarikat ke seluruh dunia, satu proses yang disebut sebagai ' McDonaldisation of Society'. Untuk mencapai maksud itu, budaya konsumer perlu disebarkan seluas-Iuasnya supaya lahir penyeragaman budaya dan gaya hidup.

KESAN PERKEMBANGAN KONTEMPORARI KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

Gelombang globalisasi kontemporari adalah yang terbesar dan terkuat pernah melanda dunia. Pengaruhnya sungguh besar dan luas sehingga ia meliputi semua bidang peradaban. Demi menjamin proses pembinaan peradaban di negara ini di atas landasan kerohanian dan moral yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain berterusan tanpa banyak terjejas, kita dipanggil untuk menilai buruk baik fenomena globalisasi ini dengan lebih teliti lagi.

Cabaran globalisasi kini memerlukan pembentukan generasi muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran. Berdasarkan beberapa aspek dan isu globalisasi yang telah dibicarakan, dapatlah dikatakan bahawa dunia hari ini sedang menghadapi satu cabaran dan perubahan yang sangat hebat yang belum pernah berlaku pada abad­-abad sebelumnya. Cabaran globalisasi dan implikasinya terhadap ekonomi, budaya, teknologi dan politik adalah luas dan mempunyai kesan yang positif dan negatif. Penerimaan terhadap perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Kebaikannya perlu dimakmurkan dan dimanfaatkan oleh semua rakyat. Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin. Untuk berjaya, kita perlu menggunakan segala kekuatan dan kekayaan yang ada pada kita, terutamanya kekayaan daIaman (inner riches) yang terdapat dalam agama dan tradisi kita baik yang berupa kerohanian mahu pun yang berupa intelektual atau keilmuan. Globalisasi yang membawa mesej kesejagatan, merentasi sempadan negara dan yang menggambarkan kerjasama, sokongan dan perpaduan antara negara dan antarabangsa sewajarnya perlu diberi nafas baru agar manfaatnya turut sama dinikmati oleh negara-negara kecil, bukannya sekadar menguntungkan negara-negara maju.


8.6 KESIMPULAN

Pada hari ini, kita berada pada zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan sebagai globalisasi, kita amat pasti bahawa hampir segala aspek dalam kehidupan kita ini tidak akan terlepas dari disentuh oleh konsep globalisasi. Hampir semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret diri kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia.

Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan globalisasi. Namun begitu, dalam keghairahan untuk diglobalkan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik, kita jangan sekali-kali terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Kita perlu ada pegangan kita sendiri agar kita tidak mudah tertipu dengan laungan keadilan dan kesamarataan universal yang ternyata palsu.

3 comments:

nazri said...

bagus dan menarik terima kasih kerana upload.er..tapi..typo byk la.OCR ke?

steffany daph said...

bertuah dapat jumpa site ni. sngt membantu saya dalam perbahasan (:

Along said...

Hi Nazri, yup OCR (Optical character recognition ). ni note my assignment..softcopy tak dpt recover sbb laptop rosak. maka saya scan my hardcopy.